Lebih 90 peratus hotel di Langkawi sudah ditempah

Lebih 90 peratus hotel di Langkawi sudah ditempah

am@hmetro.com.my

Langkawi : Kadar penginapan hotel di Langkawi mencapai lebih 90 peratus buat kali pertama tahun ini, menjelang musim cuti sekolah dan perayaan Krismas minggu depan.

Lonjakan ketara itu dipercayai didorong ribuan pelancong yang memilih Langkawi sebagai destinasi alternatif percutian susulan Hatyai, Thailand terjejas teruk akibat banjir besar.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, industri pelancongan pulau itu kini bersedia menerima peningkatan mendadak ketibaan pengunjung dalam tempoh dua minggu terakhir Disember.

“Berdasarkan maklumat, kadar tempahan hotel di Pantai Cenang dan Pantai Tengah, selain beberapa hotel sekitar pekan Kuah sudah mencecah lebih 90 peratus.

“Justeru, kita sasar 400,000 pelancong berkunjung ke pulau ini bulan ini,” katanya pada sidang media selepas program Jalinan Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITE) di Parkroyal Langkawi Resort di sini, malam tadi.

Wan Kamarul Faisal berkata, unjuran itu realistik kerana Disember musim kemuncak percutian, selain program ‘Langkawi Special Deals’ yang menawarkan diskaun sehingga 70 peratus.

“Pertambahan ketibaan pelancong bulan ini dijangka membantu memastikan sasaran 3.5 juta pelancong ke Langkawi tahun ini tercapai.

“Sehingga 30 November lalu, Langkawi mencatatkan 2.75 juta ketibaan pelancong,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran acara besar seperti Half Marathon Antarabangsa Langkawi 2025 turut menyumbang kepada peningkatan, dengan 20,000 peserta dan ahli keluarga hadir ke pulau itu, tiga hari lalu.

Mengulas mengenai penganjuran LITE yang memasuki edisi ketiga, Wan Kamarul Faisal berkata, program tiga hari itu mempertemukan 60 pembeli dari China, India, Taiwan dan Brunei dengan 100 penjual mewakili 50 syarikat pelancongan dari Langkawi.

“Perwakilan dibawa melihat secara dekat landskap Geopark Global UNESCO Langkawi, selain pendedahan kepada pelbagai hospitaliti daripada penginapan mewah kepada produk pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top