Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan gesaan supaya beliau meninggalkan PKR bukan sahaja tidak menyelesaikan sebarang isu, malah berpotensi menimbulkan risiko lebih besar kepada parti.
Beliau berkata, keputusan untuk keluar parti tidak bermakna beliau akan berdiam diri, sebaliknya memberi kebebasan untuk terus bersuara dan menegur pimpinan serta dasar parti dengan tegas.
“Gesaan kalau saya keluar parti, saya diam? Mana ada. Kalau saya keluar parti, lagilah kuat bersuara, lagilah bebas, lagilah berbahaya kepada PKR,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Parlimen Pandan, hari ini.

Rafizi, yang juga bekas Menteri Ekonomi, menambah gesaan itu mencerminkan kelemahan pimpinan bawahan yang memberi tekanan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebagai contoh bagaimana Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menangani krisis dalaman sehingga Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat.
“Kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin rasa Datuk Seri Hamzah tidak lagi sehaluan, pecat terus.
“Jadi apabila Datuk Seri Anwar tidak bersuara, pimpinan kanan tidak berani, kemudian pihak bawahan menekan kononnya kamu keluarlah daripada parti. Itu menyebabkan Presiden PKR nampak lemah dan tidak berani,”ujar beliau.

Tegas beliau, PKR bermasalah apabila cuba mengelak isu sebenar dan meletakkan diri dalam kedudukan serba salah.
“Kalau mereka pecat saya pun satu masalah, kalau kekalkan saya pun satu masalah. Kalau saya sendiri keluar parti, tetap menjadi masalah bagi mereka. Sebenarnya masalah itu bukan saya.
“Kelantangan bukan soal kritikan kepada parti, tetapi isu dibangkitkan berkaitan kepentingan rakyat dan negara, antaranya isu korporat mafia dan integriti agensi penguatkuasaan,” katanya.

Kredit Foto: MalaysiaGazette
Artikel lain: Rafizi Ramli kekal ahli PKR, dinasihat patuh perlembagaan & kod tata etika disiplin parti
Rafizi menambah, kritikan yang beliau lontarkan sejak lebih 15 tahun lalu adalah konsisten, tanpa mengira parti yang memerintah, dan PKR tidak boleh melupakan asas perjuangan serta budaya menegur isu rakyat sebagai intipati parti.
“Yang berbahaya jika PKR berada dalam kerajaan, apabila isu dibawa tetapi tidak dijawab, ia timbul sebagai masalah dalaman parti,” katanya lagi.
Sebelum ini, Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa mendakwa kenyataan dan kritikan terbuka Rafizi berpotensi menjejaskan keharmonian dalaman dan kekuatan parti.
Sumber: Utusan Online (Fatin Norizati Mat Isa)




