Lebih banyak kategori di KamiSempoi Golden Award 2024

Lebih banyak kategori di KamiSempoi Golden Award 2024

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: KamiSempoi Golden Award 2024 bakal menampilkan lebih banyak kategori dan memperkenalkan tiga anugerah baharu sebagai inisiatif untuk mengiktiraf pencapaian live host berkaliber di rantau ini.

Tahun ini, jumlah kategori yang dipertandingkan mencatat peningkatan ketara dengan 12 kategori diperuntukkan kepada rakan niaga dan 15 kategori kepada live host.

Pengasas KamiSempoi International Agency (KSIA), Pak Chin Swee berkata, peningkatan jumlah kategori dalam acara KamiSempoi Golden Award 2024 membuktikan jenama KSIA semakin dipercayai sebagai agensi TikTok yang berpengaruh di rantau Asia Tenggara.

“Jumlah ‘live host’ di bawah naungan KSIA terus mencatat pertumbuhan, dengan 3,100 di Malaysia, 1,400 di Indonesia dan 100 di Singapura. Secara keseluruhan, KSIA turut disokong oleh 27 rakan niaga di Malaysia dan sembilan di Indonesia.

“Angka ini jauh lebih besar berbanding tahun lalu yang mana hanya sebanyak 1,300 di Malaysia , 550 di Indonesia dan 100 di Singapura serta 21 rakan niaga yang menaungi KSIA.

“Kami mengambil inisiatif memperkenalkan kategori Top Host KamiSempoi Singapura 2024, Top Host KamiSempoi Indonesia 2024 dan Top Host KamiSempoi Malaysia 2024 bagi menyemarakkan semangat daya saing dalam kalangan mereka untuk muncul sebagai live host yang berjaya dan berkaliber.

“Seorang pemenang dari tiga anugerah baharu yang diperkenalkan akan merebut gelaran Top Host KamiSempoi of The Year 2024,” katanya ketika ditemui pada sidang media KamiSempoi Golden Award 2024 di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Pada masa sama, duta rasmi KSIA untuk tahun kelima, Riezman Khuzaimi menyatakan komitmennya untuk terus menyokong agensi ini dengan harapan dapat meraih lagi kejayaan KSIA melalui platformnya sebagai seorang selebriti.

“Saya memberikan sokongan dalam aspek pemasaran untuk KSIA agar lebih ramai orang yakin dengan jenama ini.

“Saya tahun ini KSIA akan terus berkembang pesat dan kekal sebagai agensi platinum nombor satu di Malaysia, dengan harapan untuk berada dalam Top 5 di Asia Tenggara,” katanya.

Pada masa sama, KSIA akan melancarkan label muzik rasmi mereka pertengahan tahun ini, sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan pengaruh serta memperluas potensi bakat live host di bawah naungannya.

KSIA juga menjalin kerjasama istimewa dengan Miaw Music untuk menerbitkan lagu berjudul Kami Sempoi ciptaan ahli pengurusan KamiSempoi, Kimchi Kacak yang akan dinyanyikan oleh Bulan Asyraff sempena KamiSempoi Golden Award 2024.

KamiSempoi Golden Award 2024 akan diadakan pada 12 Mei ini bermula jam 8 malam di Galaxy Banquet Hall, Sentul, Kuala Lumpur, dengan acara karpet merah yang turut memeriahkan lagi malam anugerah itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top