am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Stesen radio, Fly FM mahu mengangkat lagu-lagu bahasa Inggeris tempatan secara agresif sekali gus mengubah stigma masyarakat Malaysia terhadap lagu sedemikian yang kononnya tiada kualiti dan tidak layak diangkat.
Penasihat Strategik Media Prima Audio, Datuk Jake Abdullah berkata, di Fly FM, mereka memainkan lagu bahasa Inggeris tempatan sebanyak enam hingga tujuh kali sehari.
“Tapi syaratnya lagu anda mestilah berkualiti,” katanya ketika menjadi panel di Fly Malaysian English Music Forum di Theatrette, Balai Berita, di sini, hari ini.
Turut menjadi panel ialah penerbit muzik, Roshan Jamrock; penyanyi, Jason Lo dan Reshmonu. Ia dikendalikan dua penyampai Fly FM iaitu Ean dan Haniff.
Sementara itu, Pengarah Kandungan Fly FM, Sean Farrell Matjeraie berkata, stesen radio itu mengambil inisiatif memberi peluang kepada penyanyi tempatan yang menyanyikan lagu berbahasa Inggeris melebarkan sayap menerusi program ini.
“Daripada senarai lagu yang dimainkan oleh Fly FM, 25 peratus daripadanya adalah lagu Inggeris tempatan. Ia memberi lebih banyak peluang kepada penyanyi tempatan untuk mencapai pendengar lebih banyak dan mengukuhkan hubungan antara muzik tempatan dengan peminat di seluruh negara.
“Selain itu, kami juga akan menganjurkan persembahan penyanyi tempatan yang berbeza setiap bulan. Ia sebagai inisiatif untuk membuka platform kepada penyanyi baru memperoleh pendedahan setanding artis antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Sean berkata, Fly FM juga akan menganjurkan Anugerah Fly Malaysia bagi mengiktiraf penyanyi-penyanyi lagu Inggeris tempatan yang bakal dijadikan acara tahunan.
Menurut Sean, beliau mahu lagu Inggeris tempatan mendapat pengiktirafan sewajarnya di dalam dan luar negara.
Beliau juga percaya langkah ini akan menjadikan Fly FM platform yang menyokong industri muzik tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




