Lebih RM600 juta bantuan disalur agensi agama

Lebih RM600 juta bantuan disalur agensi agama

PEKAN: Pelbagai bantuan bernilai lebih RM600 juta sudah disalurkan menerusi agensi agama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada golongan memerlukan sehingga bulan lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata sumbangan berkenaan disalurkan menerusi agensi antaranya Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Waqaf Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Usaha membantu mana-mana pihak yang memerlukan masih diteruskan dan kita berterima kasih kepada pelbagai pihak yang turut sama menghulurkan sumbangan kepada golongan berkenaan,” katanya selepas penyampaian replika cek pembinaan Masjid Kampung Sungai Isap 2, Kuantan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Dr Zulkifle Ali, di sini, hari ini.

Selain wang tunai, agihan bantuan turut diberikan menerusi dana perniagaan, latihan kemahiran dan wakaf kesihatan.

Sementara itu, beliau berkata, inisiatif Gerobok Rezeki atau bank makanan, mendapat sambutan baik daripada pihak syarikat mahupun individu perseorangan yang turut sama menyumbang. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top