Lebih RM71 juta untuk penanaman, penyelenggaraan pokok bakau seluruh negara

Lebih RM71 juta untuk penanaman, penyelenggaraan pokok bakau seluruh negara

am@hmetro.com.my

Tumpat: Kerajaan memperuntukkan lebih RM71 juta untuk program penanaman pokok bakau dan beberapa spesis sesuai di pesisiran pantai negara sejak 2006.

Program yang bermula pada 2006 hingga tahun ini itu adalah bagi memperingati peristiwa tsunami dan pelaksanaannya turut membabitkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pemantauan serta program pengembangan dan kesedaran awam.

Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas serta fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sejak 2000 hingga September 2025, sembilan juta pokok bakau serta spesies yang sesuai ditanam di 3,820 hektar kawasan hutan paya laut dan pesisiran pantai.

Menurutnya, komitmen ini dilaksanakan sejak 20 tahun dahulu selepas berlakunya peristiwa tsunami melalui Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara pada tahun 2005.

“Pelaksanaan program pemuliharaan hutan paya laut dan pesisiran pantai juga sudah membuahkan kejayaan yang signifikan di seluruh negara terutama dari segi peningkatan taraf hidup serta pembangunan ekonomi penduduk setempat dan sektor pelancongan negara.

“Antaranya termasuklah kejayaan penanaman pokok di Delta Kelantan, Pantai Senok yang kini adalah destinasi eko-pelancongan,” katanya.

Teks ucapan Johari pada Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan dan Karnival Kebangsaan Perhutanan Sosial Tahun 2025 di sini hari ini, dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Dr Ching Thoo Kim.

Perasmian disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Ching berkata, selain itu, industri arang kayu di Larut Matang, Perak yang menjadi penyumbang ekonomi negara, pusat pembelajaran dan penyelidikan di Kuala Selangor serta peluang ekonomi baharu di Pulau Ketam, Perlis serta tiga kawasan di Sarawak pula digazetkan sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya dengan impak ekonomi melebihi RM3 juta setahun.

“Manakala, di Sabah, kawasan dan penanaman yang dijalankan sejak 2006 sudah menjadi kawasan sumber rezeki makanan laut masyarakat setempat.

“Kejayaan ini diperhebat dengan hasil lebih 120 kajian penyelidikan yang menjadi rujukan utama serta pembabitan aktif 13 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bersama komuniti setempat.

“Pencapaian ini bukan sahaja memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan paya laut dan pesisiran pantai, bahkan turut membuka ruang penjanaan ekonomi di samping menyemai budaya kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top