Lebih sedekad berbakti, Mei Xing umum persaraan

Lebih sedekad berbakti, Mei Xing umum persaraan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain beregu negara, Teoh Mei Xing mengambil keputusan untuk menggantung raket selepas 10 tahun menabur bakti bersama skuad badminton negara.

Bagi Mei Xing, itu bukanlah penamat yang diinginkan kerana sekiranya berjaya meraih kejuaraan dalam kejohanan terakhirnya pada Malaysian Super 100 di Johor minggu ini, ia akan menjadi penutup yang lebih bermakna buat dirinya.

Dalam kejohanan itu, Mei Xing yang bergandingan bersama Tan Zhi Yang terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Jin Sung-ik-Lee Seung-hee.

“Saya bersyukur kerana penampilan terakhir saya adalah di Malaysia, namun sedikit kecewa kerana tidak berjaya bergelar juara sebelum menamatkan karier badminton.

“Namun, itu bukanlah perkara besar. Saya bukan pemain yang memenangi banyak kejuaraan utama, tetapi saya tidak menyesal dengan segala usaha yang telah dicurahkan sepanjang karier badminton saya.

“Tidak mengapa jika anda tidak mengenali saya. Saya cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan dan berada di sisi saya. Saya sangat bertuah kerana mempunyai anda semua,” katanya menerusi Instagram miliknya.

Selain itu, pemain berusia 29 tahun itu turut berkongsi bahawa perjalanan kariernya bukanlah mudah kerana sering bertukar pasangan.

Menurut Mei Xing, antara gandingan paling berjaya dalam kariernya adalah bersama Anna Cheong apabila mereka meraih gelaran juara Terbuka Czech pada 2021 dan Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi pada 2021. Mereka turut mencapai ranking ke-17 dunia.

Bagaimanapun, gandingan itu tidak bertahan lama selepas Anna terpaksa berehat akibat kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top