hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Empat lelaki ditahan ketika memunggah rokok tidak bercukai dari sebuah lori enam tan kepada tiga van dan sebuah lori satu tan ke sebuah kereta di kawasan parkir hadapan Kepong Commercial Park di sini kelmarin.
Tangkapan berkenaan berjaya merampas lebih 3 juta batang rokok tidak bercukai bernilai lebih RM6 juta dalam Op Taring Alpha 1.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan pada jam 6.50 pagi itu adalah hasil risikan oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
“Serbuan itu dijalankan selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pemunggahan rokok yang disyaki tidak bercukai di kawasan parkir hadapan Kepong Commercial Park.
“Pemeriksaan ke atas enam kenderaan itu membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 44 tahun serta rampasan pelbagai barangan termasuk 3,460,000 batang rokok, tiga van, dua lori dan sebuah kereta Hyundai Starex selain lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama.
“Jumlah rampasan rokok dianggarkan bernilai RM6,228,000 manakala nilai keseluruhan rampasan dalam operasi ini dianggarkan sebanyak RM9,526,400,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, dan operasi itu dilancarkan bagi mengekang aktiviti perniagaan, penyimpanan serta penjualan rokok tidak bercukai di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan pasukan itu membanteras kegiatan penyeludupan dan penjualan barangan tidak berkastam.
“Bagi tempoh 1 Jan hingga 26 Okt lepas WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 218 serbuan di seluruh negara, dengan 394 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-waste.
“Keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh itu dianggarkan berjumlah RM690.32 juta,” katanya.
Menurutnya, PDRM akan terus mempergiatkan risikan dan operasi bagi menjejak serta membanteras kegiatan penyeludupan ini dengan lebih fokus dan berkesan demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam.
“Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras jenayah ini sepenuhnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




