
Mohd Zamerey menegaskan bahawa konsep korban bukan pembelian secara terus, sebaliknya satu akad wakalah yang memerlukan amanah dan ketelusan penuh dalam pengurusan dana.
KAMPOT,KEMBOJA – Peserta ibadah korban perlu dimaklumkan secara jelas mengenai sebarang lebihan atau surplus dalam pengurusan korban bagi memastikan amanah dan ketelusan sentiasa terpelihara.
Naib Presiden Eksekutif Syariah Kumpulan Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak berkata, pelaksanaan korban secara wakalah menjadikan peserta sebagai pihak yang melantik pengurusan sebagai wakil untuk menguruskan pembelian haiwan korban serta pelaksanaan ibadah tersebut.
“Dalam konsep itu, dana yang disumbangkan peserta kekal sebagai amanah dan tidak boleh dianggap milik mutlak pihak pengurusan tanpa penjelasan.
“Peserta wakilkan kita untuk uruskan korban. Jadi duit itu sebenarnya amanah peserta. Sebarang lebihan daripada kos sebenar perlu dimaklumkan kepada peserta dan tidak boleh digunakan tanpa persetujuan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di Maahad Imam Syafi’e Kampung Keh di sini pada Rabu.
Mohd Zamerey berkata, peserta perlu diberi pilihan sama ada lebihan itu dipulangkan, dijadikan upah pengurusan atau disalurkan sebagai sedekah.
“Bila ada surplus (lebihan) daging korban, kita kena tanya peserta. Nak pulangkan ke, nak jadikan upah ke atau nak sedekah. Semua kena ada izin,” katanya.
Beliau berkata, kegagalan menjelaskan perkara tersebut boleh menimbulkan persepsi negatif serta menjejaskan ketelusan pengurusan ibadah korban.
“Kalau tak jelaskan, peserta tak tahu langsung wujud lebihan. Itu yang boleh jadi isu,” katanya.
Mohd Zamerey menegaskan bahawa konsep korban bukan pembelian secara terus, sebaliknya satu akad wakalah yang memerlukan amanah dan ketelusan penuh dalam pengurusan dana.
“Ini bukan beli lembu terus, tapi amanah untuk urus ibadah korban,” katanya.
Beliau berkata, masih ramai peserta tidak menyedari wujudnya isu lebihan dalam pengurusan korban, sekali gus perlu diberi penerangan lebih jelas.
“Ramai peserta tak tahu pun tentang lebihan ini, ketelusan amat penting kerana ia melibatkan ibadah dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi pengurusan,” ujarnya.



