Lebur lebih RM120,000 angkara pelaburan tidak wujud

Lebur lebih RM120,000 angkara pelaburan tidak wujud

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pekerja pembinaan berputih mata selepas rugi RM123,470.04, disyaki ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu mendakwa terpedaya dengan skim pelaburan saham dalam talian yang menawarkan pulangan lumayan.

“Kejadian bermula pada 1 Ogos lalu apabila dia menerima pesanan Whatsapp yang mempelawa menyertai skim pelaburan dengan hanya memuat turun aplikasi ‘Bitbest’.

“Mangsa dijanjikan pulangan 88 peratus daripada nilai pelaburan, menyebabkan dia tertarik untuk mencuba dan memuat turun aplikasi itu serta mendaftarkan maklumat peribadi.

“Dia juga membuat sembilan kali transaksi bayaran ke dalam lima akaun bank berbeza antara 1 Ogos hingga 22 Ogos yang keseluruhannya berjumlah RM123,470.04,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, mangsa cuba menuntut keuntungan yang dijanjikan, namun suspek memberikan pelbagai alasan dan memintanya membuat bayaran tambahan, sebelum mangsa sedar dia ditipu.

Katanya, laporan polis dibuat Sabtu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top