Leclerc lega Vasseur kekal bersama Ferrari

Leclerc lega Vasseur kekal bersama Ferrari

Budapest: Charles Leclerc menyifatkan pengumuman rasmi Ferrari berhubung lanjutan kontrak Fred Vasseur sebagai ketua pasukan adalah sesuatu yang ‘penting’ dan melegakan, terutama selepas pelbagai spekulasi mengenai masa depan pengurus dari Perancis itu.

Bercakap menjelang Grand Prix (GP) Hungary hujung minggu ini, pelumba dari Monaco itu mengakui berita berkenaan memberikan ketenangan kepada pasukan.

“Ia bukanlah satu kejutan, tetapi saya sangat gembira,” kata Leclerc.

“Sepanjang sebulan lalu, seperti biasa dengan Ferrari, banyak khabar angin yang timbul. Jadi, akhirnya ada pengumuman rasmi, itu penting dan saya gembira mengenainya.”

Leclerc dan rakan sepasukannya, juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton, sebelum ini menyatakan sokongan penuh terhadap Vasseur selepas laporan media Itali mendakwa beliau bakal digantikan susulan prestasi mengecewakan pasukan pada awal musim ini.

Ini berlaku walaupun Ferrari mengakhiri musim lalu dengan kuat serta berjaya mendapatkan Hamilton, namun bintang Britain itu masih belum meraih sebarang podium musim ini.

“Saya rasa, terlalu banyak harapan diberikan kepada pasukan ini sejak awal musim dan semua orang fikir kami akan menang kejuaraan. Malangnya, itu tidak berlaku, dan kemudian datanglah segala macam spekulasi — sesuatu yang kami sendiri tak boleh kawal,” kata Leclerc.

Menurutnya lagi, ketenangan Vasseur sejak menggantikan Mattia Binotto pada 2023 membantu menstabilkan emosi pasukan.

“Ferrari ini indah kerana emosi dalam pasukan sangat kuat, tapi ia juga boleh menjadi racun jika tak dikawal, terutama ketika berdepan detik sukar. Fred sentiasa tenang dan bantu pasukan untuk lebih rasional — itu kekuatan terbesar yang dia bawa ke pasukan.”

Leclerc turut menyuarakan keyakinannya terhadap Vasseur sebagai pemimpin terbaik untuk mengemudi Ferrari menjelang perubahan besar pada peraturan teknikal musim depan.

Hamilton pula berkata, beliau lega dengan keputusan Vasseur untuk kekal dan menyifatkan bosnya itu sebagai seorang ‘pelumba sejati’.

Mengulas perbezaan antara Vasseur dan bekas bosnya di Mercedes, Toto Wolff, Hamilton berkata: “Mereka sangat berbeza, tetapi kedua-duanya adalah pelumba hebat. Kedua-duanya membenarkan saya menjadi diri sendiri, itu penting buat saya. Fred juga memiliki kelebihan itu.”

Selepas 13 daripada 24 perlumbaan musim ini, Ferrari kini berada di tangga kedua kejuaraan pengeluar, 268 mata di belakang pendahulu, McLaren dan 28 mata mengatasi Mercedes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top