am@hmetro.com.my
Petaling Jaya : Penyanyi dan pelakon terkenal, Korea Selatan, Lee Jun Young, 28, mendedahkan banyak minum air dan rehat yang cukup menjadi rutin harian bagi menjaga wajah dan keremajaan kulitnya.
Jun Young berkata, amalan berkenaan sudah dilakukan sebelum terbabit dalam industri hiburan yang memerlukannya banyak menghabiskan waktu di lokasi penggambaran.
“Minum banyak air. Itu yang saya lakukan sejak awal dulu supaya sentiasa dalam keadaan segar dan bertenaga. Lagipun, saya banyak bekerja di luar dan kena selalu berpanas.
“Tetapi sebagai tambahan saya guna produk pelindung tambahan untuk kulit wajah,” katanya ditemui pada sesi bersama peminat yang berlangsung di pusat beli-belah Sunway Pyramid di sini, hari ini.
Pelakon yang popular menerusi drama popular Weak Hero Class 2 dan When Life Give You Tangerines itu berkata, dia teruja untuk bertemu peminatnya di sini dan mencuba keenakan makanan tempatan.
“Terima kasih peminat yang hadir dan meriahkan acara hari ini. Walaupun pernah ke Malaysia tetapi saya tetap teruja mahu mencuba makanan tempatan seperti Nasi Lemak,” kata bekas anggota UNB dan U-KISS itu.
Menerusi kunjungannya ke sini kali ini, Jun Young diterbangkan ke Malaysia sempena pelancaran produk Nivea Luminous Skin Glow Serum pagi tadi.
Pada sebelah malam pula, Jun Young akan bertemu sekitar 1,000 peminat dalam sesi khas yang dijadualkan berlangsung di Jio Space, di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




