Lee Mun teruja penampilan sulung di Kejohanan Remaja Asia

Lee Mun teruja penampilan sulung di Kejohanan Remaja Asia
Lee Mun semasa sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) baru-baru ini. Foto Sinar Harian

Lee Mun semasa sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) baru-baru ini. Foto Sinar Harian

PEMAIN perseorangan remaja wanita negara, Lee Mun bertekad memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi buat kali pertama dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 yang bakal berlangsung di Solo, Indonesia dari 18 hingga 27 Julai depan.

Atlet berusia 16 tahun kelahiran Kampar, Perak itu menyifatkan kejohanan tersebut sebagai medan terbaik untuk mengukur kemampuan diri dalam arena kompetitif peringkat benua.

“Saya sangat teruja dan mahu memberikan yang terbaik. Jurulatih Kenneth Jonassen banyak membimbing saya, terutamanya dalam fokus kepada acara perseorangan wanita sahaja,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) baru-baru ini.

Lee Mun yang memiliki kelebihan dari segi fizikal dan ketinggian mengakui corak latihan intensif bersama Jonassen banyak membantu memperkemas permainannya, selain membina keyakinan untuk bersaing di pentas lebih tinggi.

“Jurulatih menekankan aspek taktikal dan mentaliti dalam perlawanan. Saya mahu gunakan peluang ini sebagai permulaan untuk membina kerjaya.

“Berikan saya tempoh lima tahun. Saya berazam untuk mengangkat mutu perseorangan wanita negara dan mengharumkan nama Malaysia,” ujarnya.

Mengimbas perjalanan awal kariernya, Lee Mun mendedahkan beliau pada asalnya lebih cenderung kepada bola keranjang, mengikut jejak dua abangnya.

Namun segala-galanya berubah apabila bakatnya mula disedari ketika berusia 12 tahun.

“Saya mula bermain badminton secara suka-suka sejak umur sembilan tahun. Tapi selepas menyertai sesi latihan dan dibimbing jurulatih Wong Pei Tty, saya mula serius dan jatuh cinta dengan sukan ini.

“Beliaulah individu yang membuka jalan kepada saya untuk terus maju hingga ke peringkat sekarang,” katanya lagi

Scroll to Top