Leeds, Burnley layak ke EPL musim depan

Leeds, Burnley layak ke EPL musim depan

London: Leeds United dan Burnley mengesahkan tiket automatik ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depanmanakala Sheffield United terpaksa beraksi dalam saingan play-off Liga Kejuaraan.

Leeds yang menghabiskan dua musim di divisyen kedua bola sepak Inggeris, membelasah Stoke 6-0 di Elland Road, awal pagi tadi dengan Joel Piroe menjaringkan empat gol.

Pasukan kendalian Daniel Farke tahu bahawa jika skuad Chris Wilder, Sheffield United, gagal menewaskan Burnley dalam perlawanan awal pagi tadi, mereka akan kembali ke EPL.

Kapten Burnley, Josh Brownhill menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-1 sekali gus memastikan promosi untuk pasukannya dan juga Leeds.

Kedua-dua pasukan kini mengumpul 94 mata dan tidak boleh lagi dikejar Sheffield United yang berada di tempat ketiga dengan 86 mata, setelah hanya memenangi satu daripada lima perlawanan terakhir mereka.

Leeds yang tewas kepada Southampton pada final play-off Liga Kejuaraan musim lalu di Wembley, tidak menghadapi masalah membenam Stoke, semalam.

Kapten Leeds, Ethan Ampadu, berikrar pasukannya masih belum puas dan akan terus memburu gelaran juara Kejuaraan.

“Saya sangat bangga. Banyak perkara positif,” katanya kepada Sky Sports. “Sambutan ini sangat hebat. Kami bekerja keras sepanjang tahun untuk ini.

“Bukan untuk menyejukkan semangat, tapi kami masih ada satu lagi sasaran yang mahu dicapai, jadi kami akan menikmati malam ini dan esok kami akan teruskan perjuangan.”

Leeds agak goyah pada awal Mac apabila hanya menang sekali dalam enam perlawanan, mencetus kebimbangan mereka sekali lagi perlu melalui play-off.

Namun kini, pasukan dengan jumlah jaringan terbanyak liga 89 gol memenangi empat perlawanan terakhir mereka.

Burnley pula kendalian Scott Parker pula tidak setajam pencabar terdekat dalam menjaringkan gol, tetapi kekuatan mereka terletak pada pertahanan – hanya bolos 15 gol sepanjang musim dan mengekalkan rekod tanpa kalah untuk kembali ke EPL.

“Kami banyak kali diperlekehkan, orang kata kami membosankan. Tapi kami ‘membosankan’ cara kami ke EPL,” kata Brownhill.

Parker kini berjaya membawa tiga kelab naik ke EPL selepas Fulham dan Bournemouth.

Sheffield United pernah mendahului carta Kejuaraan pada akhir bulan lalu sebelum prestasi mereka merudum.

The Blades kini pasti menamatkan musim di tangga ketiga, tetapi perlu berjuang dalam play-off untuk merebut satu lagi slot ke EPL musim depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top