redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bukan hanya mengagihkan makanan, malah pempengaruh, Leeroy Wong atau dikenali Roy juga meluangkan masanya untuk berbuka puasa dengan komuniti gelandangan di ibu kota, baru-baru ini.
Menurut Roy, 32, pengalaman itu amat bermakna kerana pertama kali dirasai dalam hidupnya.
Katanya, kesempatan turut serta dalam aktiviti pengagihan pek makanan sebelum waktu berbuka puasa juga memberi peluang untuknya melihat lebih dekat komuniti gelandangan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.
“Perasaan saya bercampur baur waktu agihkan pek makanan dan berbuka puasa dengan kerana kali pertama turut serta.
“Sebelum ini, saya pernah jumpa komuniti gelandangan dan asnaf tapi setakat temubual untuk ‘content’ (bahan) di media sosial.
“Kali ini saya berasa lebih dekat dengan mereka dan seronok dapat berbuka sambil bersembang serta mendengar kisah mereka. Ia pengalaman baru buat saya tapi sangat menyeronokkan kerana ini program amal pertama saya turut serta dalam Ramadan tahun ini ,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas mengagihkan pek makanan berbuka kepada komuniti gelandangan dekat Lorong Haji Taib, di sini.
Sebanyak 300 pek makanan diagihkan Roy bersama lapan sukarelawan dari syarikat Pelita Delight selaku penganjur dan penyumbang dengan kerjasama Pertubuhan Jejak Jalanan.
Menurut Roy, dia sedia turut serta lagi dalam program bersama gelandangan pada masa akan datang jika ada kelapangan dan menerima undangan daripada mana-mana pihak.
Berkongsi pengalaman ketika Ramadan pula, Roy berkata, dia pernah cuba berpuasa selama 10 hari tahun lalu.
“Tahun lalu pertama kali saya berpuasa dan buat kerana nak cuba rasai pengalaman itu. Tiga hari pertama rasa berat nak bangun sahur tapi lama kelamaan okay dan paling seronok waktu ke bazar Ramadan untuk cari makanan berbuka.
“Dulu saya tak ramai kawan Muslim jadi tak berapa faham mengenai puasa. Apa saya tahu, keluarga ajar untuk hormat orang Islam yang berpuasa dengan tidak makan dan minum depan mereka dalam Ramadan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




