'Lega anak sudah terima vaksin'

'Lega anak sudah terima vaksin'

mahani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Rata-rata ibu bapa menyuarakan perasaan lega apabila vaksin COVID-19 mula diberikan kepada anak mereka berusia antara lima hingga 11 tahun.

Pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) yang bermula hari ini akan tertumpu kepada 4.1 juta kanak-kanak usia itu.

Foo Chuan Liang, 40, berkata anak tunggalnya, Foo Fang Le, 10, mula menjalani suntikan pertamanya dengan lancar.

“Sebagai bapa, saya mahu anak selamat dan dilindungi daripada COVID-19.

“Apabila menerima mesej slot janji temu suntikan COVID-19 untuk anak semalam, saya terus melengkapkan butiran dan hari ini menemaninya ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk terima suntikan dos pertama.

“Prosesnya sangat lancar walaupun ini adalah hari pertama dan dibuat di tempat yang besar,” katanya ketika ditemui.

PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) antara PPV bersepadu di Lembah Klang yang memulakan operasi hari pertama PICKids, di samping PPV Axiata Arena, Bukit Jalil; PPV Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam dan Hospital Tuanku Azizah.

Chuan Liang juga yakin anaknya dalam keadaan baik kerana vaksin yang digunakan ketika ini terbukti selamat.

“Saya yakin vaksinasi adalah perlindungan terbaik ketika ini dan faham risiko yang dihadapi anak seperti demam, mengantuk dan kesan sampingan lain,” katanya.

Bagi Fang Le, dia tidak sabar untuk berjumpa dengan rakan-rakan di sekolah selepas semua mereka divaksinasi.

“Saya tidak sabar kembali ke sekolah untuk pembelajaran secara bersemuka dan bermain dengan kawan-kawan seperti sebelum COVID-19,” katanya.

Sementara itu, ekspatriat, Jagdeep Singh, 41, berkata beliau melihat pengurusan operasi PPV sistematik, lancar dan tidak mengambil masa yang lama.

“Saya langsung tidak bimbang kesan selepas vaksin COVID-19 kerana keutamaan saya adalah anak dilindungi.

“Saya melalui proses yang sangat lancar dan ini sudah tentu memudahkan ibu bapa yang datang menemani anak,” katanya bersama anaknya, Jashn Singh, 8.

Beliau berkata, dengan perlindungan vaksin COVID-19, anaknya mungkin lebih selamat untuk melakukan aktiviti fizikal, hadir ke sekolah dan keluar bersama ibu bapa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top