Brussels, Belgium: Legenda sukan berbasikal Belgium, Eddy Merckx dibenarkan keluar dari hospital hari ini selepas mengalami kecederaan patah pinggul sebelum ini, kata isterinya, Claudine kepada akhbar harian Belgium Het Nieuwsblad.
Merckx dimasukkan ke hospital pada 13 Julai lalu kerana kecederaan di bahagian pinggul berikutan kemalangan berbasikal Disember lalu.
Pemenang Tour de France lima kali itu juga mengalami masalah kulit yang memerlukan rawatan antibiotik, katanya kepada AFP pada Jun semasa majlis resepsi sempena ulang tahunnya yang ke-80.
Merckx perlu kembali ke hospital dalam masa sebulan untuk memasang prostesis kekal yang baharu. Sementara itu, dia akan berada di rumah.
“Buat masa ini, Eddy hanya gembira kerana dapat pulang ke rumah. Dia amat selesa di rumah dan berharap kesihatannya cepat pulih,” kata isterinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd