Mumbai: Bintang legenda India, Dharmendra Kewal Krishan Deol atau lebih dikenali sebagai Dharmendra dilaporkan meninggal dunia semalam.
Menurut sumber rapat, Dharmendra, 89, mengalami keadaan kesihatan yang tidak menentu sejak beberapa minggu lalu.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, Presiden India, Draupadi Murmu serta ramai lagi pemimpin dan tokoh hiburan turut mengucapkan takziah atas pemergian mendiang Dharmendra.
“Beliau adalah personaliti filem yang ikonik. Seorang pelakon hebat yang membawa pesona tersendiri bagi setiap watak dilakonkan,” kata Narendra Modi.
Beberapa rakan artis seangkatan dengannya serta rakan rapat turut meluahkan kesedihan dan menganggap ia berita yang cukup menyedihkan serta kehilangan besar dalam arena Bollywood.
Pelakon, penyanyi dan penerbit filem, Sanjay Dutt berkongsi beberapa foto lama Dharmendra dengan kapsyen,”Sesetengah orang bukan sekadar bekerja dalam hidup anda… mereka tinggal di dalam hati anda.
“Dharam ji adalah salah seorang daripada mereka. Ini adalah kekosongan yang tidak dapat digambarkan. Saya bersimpati dengan Sunny, Bobby dan seluruh keluarga…” tulisnya di akaun X.
Mendiang mendapat julukan He-Man dalam kalangan peminat. Muncul dalam lebih 300 filem sepanjang kerjaya lebih enam dekad.
Dilahirkan di Punjab pada 1935, Dharmendra mula berkembang dalam dunia seni selepas kejayaan memenangi pertandingan bakat anjuran sebuah majalah filem, sebelum berpindah ke Mumbai.
Beliau membintangi filem pertamanya pada 1960. Karier gemilangnya merentasi pelbagai genre seperti filem seni, romantik ringan, aksi hingga komedi. Ia menjadikan mendiang pelakon paling menonjol pada era itu.
Antara karya ikonik mendiang adalah filem kultus Bollywood Sholay terbitan 1975.
Mendiang Dharmendra dilapor berkahwin dengan isteri pertamanya, Prakash Kaur, sebelum meraih populariti. Hasil kerjasama dalam beberapa filem bersama Hema Malini, beliau mengahwini aktres terbabit pada 1980 tanpa menceraikan Prakash.
Mendiang Dharmendra dilapor pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen India dari 2004 hingga 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd




