Legenda Formula 1,Schumacher tak boleh 'bersuara'

Legenda Formula 1,Schumacher tak boleh 'bersuara'

Agensi

Berlin: Michael Schumacher kini tidak boleh bercakap dan perlu dijaga rapi oleh ahli keluarganya dan kakitangan perubatan.

Keadaan terkini legenda Formula Satu itu dikongsi wartawan sukan, Felix Gorner.

Schumacher terbabit dalam kemalangan ketika sedang meluncur salji di Banjaran Alps pada Disember 2013. Juara dunia tujuh kali itu terjatuh dan kepalanya terkena batu. Dia dikejarkan ke hospital dan menjalani rawatan selama beberapa bulan.

Dia akhirnya dibenarkan pulang ke rumah tetapi keadaan kesihatannya semakin teruk akibat kemalangan itu. Tidak ramai yang mengetahui keadaan sebenar Schumacher kerana isterinya, Corinna amat komited menjaga privasi suaminya.

Gorner antara wartawan Formula 1 tersohor di Jerman dan hanya dia berjaya mendapatkan maklumat berkenaan keadaan terkini Schumacher.

“Situasinya amat menyedihkan. Dia perlu jagaan rapi berterusan dan hanya bergantung kepada penjaganya. Dia tidak lagi boleh bercakap,” kata Gorner.

Keluarga Schumacher hanya membenarkan orang yang dipercayai untuk melawat atau mengetahui keadaan terkini bekas pemandu Ferrari itu.

“Ketika ini hanya 20 orang boleh berjumpa Michael. Pada pendapat saya ia satu langkah yang betul. Keluarganya benar-benar menjaga privasi Michael, itu tidak berubah,” katanya.

Schumacher menguasai sukan F1 di awal era 2000. Ketika itu dia sudah dua kali bergelar juara dunia selepas memenangi gelaran bersama Bennetton pada tahun 1994 dan 1995.

Dia dilamar Ferrari tetapi tidak segera diberikan kereta yang mampu memenangi perlumbaan. Namun semua berubah di alaf baharu.

Kemasukan pegawai teknikal hebat seperti Ross Brawn dan Rory Byrne membantu Ferrari menjadi pasukan terbaik dan Schumacher memulakan dinastinya tersendiri yang sukar dicabar dalam sejarah sukan itu.

Rekod lima kejuaraan berturut-turut dari tahun 2000 hingga 2004 masih unggul. Hanya Max Verstappen mampu menyamainya jika dia memenangi kejuaraan pemandu tahun ini.

Prinsipan pasukan Ferrari ketika itu ialah Jean Todt, yang kemudian menjadi presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA). Dia juga antara orang yang diberi kepercayaan oleh keluarga Schumacher untuk melawat legenda itu dan pada masa sama menjaga rahsianya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top