London: Seorang lagi bekas bintang Manchester United mengkritik Erik Ten Hag selepas permulaan yang hambar.
The Red Devils dengan mudah menewaskan Southampton 3-0 pada Sabtu lalu, memberikan sedikit kelegaan di kedudukan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pasukan itu baru sahaja mengalami kekalahan kepada Brighton dan Liverpool di Old Trafford, yang meningkatkan tekanan ke atas Ten Hag.
Dwight Yorke, yang menjaringkan 66 gol dalam 152 perlawanan untuk kelab itu, menyuarakan kekecewaannya terhadap kemelut berterusan pasukan itu dalam satu wawancara dengan beIN Sports.
Yorke berkata: “Kita sangat jauh daripada memenangi Liga Perdana.”
“Apabila bercakap mengenai pengurus semasa, dia adalah individu yang diharapkan untuk membawa pasukan ke hadapan dan kami fikir selepas musim pertama dia adalah individu yang tepat.
“Tetapi apa yang telah berlaku? Ya, pasukan berjaya memenangi Piala FA musim lalu, tetapi itu tidak bermakna mereka adalah pasukan yang hebat selepas memenangi piala. Memenangi piala adalah hebat, tetapi mereka perlu memastikan kabinet trofi terus terisi.
“Tetapi di mana kita berada sekarang sebagai kelab bola sepak, identiti permainan kita, kedudukan akhir, jumlah gol yang dibolosi, jumlah gol yang dijaringkan adalah yang terburuk dalam sejarah kita sejak Liga Perdana bermula pada 1992.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




