Legenda ragbi All Blacks dilantik Pro Canselor AIU

Legenda ragbi All Blacks dilantik Pro Canselor AIU

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Legenda sukan ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams dilantik secara rasmi Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) sebagai Pro Canselor di universiti berkenaan hari ini.

Bekas bintang berusia 39 tahun yang juga pemenang dua kali Piala Dunia Ragbi itu berkata, peranan baharu itu diambil memandangkan ia sejajar dengan nilai pegangannya dan juga pihak universiti.

“Saya diberi peluang dan diberkati oleh Allah dengan sukan sebagai pendorong hidup saya, mengubah diri, keadaan keluarga saya dan itulah juga yang mereka lakukan di sini, cuma ianya dari sudut pandangan pendidikan.

“Saya tidak pernah menjadi Pro Canselor sebelum ini. Tetapi saya faham apa itu kerja keras, ketabahan, kesyukuran, mempunyai tujuan, dan cuba mengubah keadaan hidup. Itulah yang akan saya sampaikan kepada pemimpin masa depan kita.

“Terdapat kisah yang dapat dikaitkan dengan perasaan dan emosi yang sama dengan menjadi Pro Canselor, namun saya tidak mahu ia sekadar simbolik kerana saya ingin terbabit dengan pelajar secara lebih aktif,” kata Williams yang menggalas tanggungjawab berkenaan bagi tempoh dua tahun bermula 1 November lalu.

Williams yang juga pemain tengah All Blacks turut berkongsi kekagumannya terhadap Malaysia dengan menyifatkan penghargaan yang diterimanya sebagai satu pengiktirafan buat dirinya.

Dalam pada itu, Naib Canselor AIU, Profesor Datuk Dr Mohd Saleh Jaafar turut menyatakan universiti berkenaan berbangga mempunyai Williams, kerana kehidupan dan kerjayanya mencerminkan misi dan visi AIU.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top