Legenda WWE, Hulk Hogan sudah tiada

Legenda WWE, Hulk Hogan sudah tiada

Los Angeles: Legenda gusti dunia, Hulk Hogan, dilaporkan meninggal dunia pada usia 71 tahun.

Hogan, yang nama sebenarnya Terry Gene Bollea, disahkan meninggal dunia selepas polis dan pasukan perubatan kecemasan (EMT) dipanggil ke kediamannya di Clearwater, Florida, pagi Khamis.

Menurut TMZ, panggilan kecemasan dibuat berhubung kejadian ‘serangan jantung’, dan sepasukan paramedik serta polis dilihat berada di luar rumah Hogan.

Hogan dikatakan diusung keluar dari rumahnya menggunakan pengusung sebelum dimasukkan ke dalam ambulans, dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Polis Clearwater belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi setakat ini, manakala punca kematian belum diumumkan.

Pihak World Wrestling Entertainment (WWE) mengesahkan berita duka itu dalam satu kenyataan rasmi.

“WWE berduka cita apabila menerima berita bahawa Ahli Dewan Kemasyhuran WWE, Hulk Hogan, telah meninggal dunia.

“Sebagai salah satu ikon yang paling dikenali, Hogan telah membantu WWE mencapai pengiktirafan global pada era 1980-an.

“WWE mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan peminat beliau,” kata kenyataan itu.

Kesihatan Hogan sebelum ini dilaporkan semakin merosot, termasuk khabar angin yang mendakwa beliau berada dalam keadaan tenat dan koma sebelum pemergiannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top