Legenda WWE rebah, dikejarkan ke hospital

Legenda WWE rebah, dikejarkan ke hospital

Florida: Legenda WWE, Ric Flair, dikejarkan ke hospital selepas rebah di luar sebuah restoran di Florida.

Insiden membimbangkan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Flair, 77, mendedahkan bahawa dia didiagnosis mengalami pembekuan darah.

Menurut TMZ, pasukan kecemasan memberikan bantuan kepada The Nature Boy selepas dia terjatuh di luar sebuah restoran di Tampa.

Juara dunia 16 kali itu diletakkan di atas pengusung sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital berhampiran.

Sumber sama mendakwa ahli Dewan Kemasyhuran WWE dua kali itu berada di restoran Wagamama sebelum bangun dari kaunter bar, meninggalkan telefon bimbit serta minumannya, kemudian berjalan menyeberangi jalan.

Bekas juara WWE itu kemudian tiba-tiba terjatuh dan mengalami kecederaan pada muka di luar premis berkenaan.

Laporan sama menyebut Flair mengalami luka pada kepala dan sekitar mata akibat terjatuh dengan kuat.

Matanya dilaporkan mengalami pendarahan yang banyak, manakala terdapat juga kebimbangan dia mengalami gegaran otak.

Legenda WCW itu sebelum ini terpaksa membatalkan penampilannya pada satu konvensyen bersama peminat di Seattle, Washington.

Flair berkata doktor melarangnya menaiki penerbangan jarak jauh selepas mengesan pembekuan darah.

Anak kelahiran North Carolina itu turut memohon maaf kepada peminat gusti profesional serta ejennya kerana tidak dapat menghadiri acara berkenaan.

Flair, bapa kepada bintang WWE dan juara wanita 14 kali, Charlotte Flair, berdepan beberapa masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top