LONDON: Leicester City boleh berdepan pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama yang bernilai 100 juta pound (RM587.4 juta) apabila mereka menentang Manchester City pada saingan Perisai Komuniti di Wembley, di sini, tengah malam Ahad ini waktu Malaysia.
Namun ia hanya menambah motivasi buat pengurusnya, Brendan Rodgers.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola dikatakan boleh memberikan pemain tengah England, Jack Grealish yang baharu ditandatangani dari Aston Villa penampilan pertama musim ini.
Skuad Foxes mengejutkan Chelsea 1-0 di stadium berkenaan pada Mei lalu untuk menang Piala FA buat pertama kali dan menunjukkan bahawa wang bukanlah segala-galanya.
“Anda boleh melihatnya dalam dua cara, dan berfikir anda tidak boleh bersaing atau anda cuba untuk mencipta keadaan yang bermakna anda akan menjadi kompetitif,” kata Rodgers mengenai perbelanjaan City.
“Kami tahu tahap dalam EPL tetapi ia tidak menyekat kami untuk bersaing,” kata pengendali dari Ireland Utara itu dengan skuadnya menamatkan saingan di tangga kelima musim lalu.
“Manchester City ialah kelab yang menakjubkan dengan kumpulan pemain yang hebat, dan mereka juara bertahan dan mereka ada jurulatih yang sangat bagus yang melihat semuanya,” katanya.
“Mereka dibina untuk menang sesuatu. Diri kami, dengan sumber terhad, cuba mencabar.”
City sudah menang piala berkenaan enam kali sebelum ini daripada 12 penampilan, terbaharu pada 2019.
– AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




