Lelaki 81 tahun meninggal atas bumbung

Kulim: Lelaki warga emas meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di atas bumbung sebuah rumah di Taman Tiong, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.21 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim tiba di lokasi pada 11.30 pagi untuk membantu menurunkan mangsa.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa berusia 81 tahun ditemukan terbaring di atas bumbung rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Difahamkan sebelum kejadian, mangsa sedang membaiki bumbung rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota bomba menggunakan tangga dan pengusung untuk menurunkan mangsa.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ini adalah kejadian kedua membabitkan mangsa ditemui tidak sedarkan diri di atas bumbung yang mana pada 26 Februari lalu media pernah melaporkan kejadian pertama di daerah Kuala Muda.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki iaitu kontraktor berusia 60 tahun ditemui tidak sedarkan diri ketika sedang menukar bumbung sebuah rumah di Taman Bunga Raya, Sungai Petani sebelum disahkan meninggal dunia.