harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki tokan dadah kecil-kecilan dan menemukan heroin seberat 26.10 gram ketika membuat pemeriksaan di Jalan Tun Tan Siew Sin di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, jam 11.50 malam.
“Hasil soal siasat ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan dipercayai bergiat aktif mengedar dadah dalam skala kecil-kecilan di sekitar Jalan Petaling di sini.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai 20 kesalahan lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis morfin.
Katanya, rampasan dadah jenis heroin seberat 26.10 gram berkenaan dianggarkan bernilai RM652.
“Suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 3 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Sebarang maklumat berkaitan atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur, 03-21159999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,
03-26002222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd