Tular sebuah video di media sosial sejak semalam memaparkan seorang lelaki bertindak memecahkan cermin menggunakan topi keledar dan merosakkan kereta seorang wanita di Pekan Parit Jawa, Muar.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, punca kejadian adalah berkaitan cara pemanduan kenderaan masing-masing.
“Berikutan itu, suspek bertindak agresif dengan memecahkan cermin hadapan kereta mangsa yang berusia 26 tahun.
“Suspek turut memecahkan cermin sisi kereta sebelah pemandu dan merosakkan bonet hadapan kereta mangsa dengan menggunakan topi keledarnya,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Menurut Zaharudin, suspek yang berusia 25 tahun ditahan sebelum menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar kerana dipercayai mengalami masalah mental.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video dan kenyataan di laman sosial sehingga tular yang boleh menimbulkan salah faham dan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro (Essa Abu Yamin) , Facebook