KAMPAR: Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental menikam anak dan adik perempuannya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Bandar Baru di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 8.30 malam.
“Mangsa yang cedera ditikam adalah anak lelaki suspek yang berumur 22 tahun yang ditikam sebanyak tiga kali di bahagian leher kiri.
“Sementara itu, adik suspek iaitu seorang perempuan berumur 56 tahun yang bekerja sebagai seorang pelukis pelan turut ditikam sebanyak sekali di bahagian leher kiri,” katanya.
Menurutnya, kejadian berlaku di bahagian ruang tamu rumah kediaman suspek dan mangsa.
Katanya, suspek berusia 58 tahun dipercayai mengalami masalah halusinasi yang mendorong kejadian itu telah menerima rawatan psikiatri secara berkala di Hospital Fatimah di Ipoh.
“Kedua-dua mangsa yang cedera dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk rawatan lanjut.
“Suspek mengalami luka di tapak tangan kiri dirujuk ke Hospital Tanjung Rambutan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN




