Tokyo: Seramai 15 lelaki cedera dalam satu serangan amuk di sebuah kilang getah di Wilayah Shizuoka pada Jumaat yang turut membabitkan semburan cecair misteri.
“Kesemua 15 mangsa dihantar ke hospital,” kata seorang pegawai jabatan bomba di Bandar Mishima.
Pegawai itu yang enggan dikenali berkata, lapan kecederaan daripada tikaman manakala tujuh lagi akibat cecair berkenaan.
Beberapa saluran media tempatan yang memetik sumber tidak didedahkan melaporkan bahawa cecair itu dipercayai bahan peluntur.
Susulan kejadian, polis menahan Masaki Oyama, 38, yang mendakwa dirinya sebagai penduduk Mishima atas pertuduhan cubaan membunuh.
Oyama disyaki menikam seorang lelaki berusia 28 tahun dengan pisau di dalam kilang berkenaan kira-kira jam 4 petang.
Apabila pegawai polis tiba di lokasi kejadian, Oyama sudah ditahan oleh pekerja kilang berkenaan.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat motif di sebalik serangan itu.
Akhbar harian Asahi Shimbun memetik sumber penyiasatan sebagai menyatakan bahawa lelaki itu mempunyai kaitan dengan kilang berkenaan.
Suspek dilaporkan memakai alat yang menyerupai topeng gas semasa melakukan serangan itu.
Laporan media lain turut menyatakan bahawa suspek bersenjatakan alat yang digambarkan sebagai pisau ikhtiar hidup (survival knife).
Kilang berkenaan terletak kira-kira 2.3 kilometer ke tenggara Stesen Mishima dan mengeluarkan tayar untuk kereta penumpang dengan seramai 987 pekerja setakat Disember 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




