Lelaki Australia maut akibat jangkitan mirip rabies disebabkan gigitan kelawar

Lelaki Australia maut akibat jangkitan mirip rabies disebabkan gigitan kelawar

Sydney: Lelaki Australia meninggal dunia akibat jangkitan mirip rabies yang sangat jarang berlaku disebarkan melalui gigitan kelawar, menurut pegawai kesihatan pada semalam.

Lelaki berusia 50-an itu digigit seekor kelawar yang membawa virus ‘Australian bat lyssavirus’ beberapa bulan lalu, kata perkhidmatan kesihatan di New South Wales (NSW).

Lelaki dari utara New South Wales itu yang tidak didedahkan identitinya dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal minggu ini.

Pegawai memaklumkan bahawa mangsa menerima rawatan selepas digigit dan siasatan dijalankan untuk mengenal pasti sama ada terdapat pendedahan lain atau faktor tambahan menyumbang kepada penyakitnya.

Virus itu yang sangat mirip dengan rabies (tidak wujud di Australia) boleh disebarkan apabila air liur kelawar masuk ke dalam badan manusia melalui gigitan atau cakaran.

Simptom awal boleh muncul dalam tempoh beberapa hari atau bertahun-tahun. Tanda awal penyakit itu menyerupai selesema seperti sakit kepala, demam dan keletihan, menurut perkhidmatan kesihatan terbabit.

Keadaan mangsa akan merosot dengan cepat, menyebabkan lumpuh, kekeliruan, sawan dan akhirnya kematian.

Hanya terdapat tiga kes jangkitan manusia oleh ‘Australian bat lyssavirus’ sejak ia pertama kali dikenal pasti pada 1996, dengan kesemuanya mengakibatkan kematian.

Virus itu dikesan dalam spesies ‘flying fox’ atau keluang dan kelawar kecil pemakan serangga, menurut NSW Health. Spesies kelawar yang terbabit dalam kes kematian terbaharu ini masih belum dikenal pasti.

“Australian bat lyssavirus sangat rapat hubungannya dengan rabies dan boleh menyebabkan kematian jika seseorang dijangkiti dan tidak dirawat dengan segera,” kata pakar penyakit berjangkit dari Universiti Melbourne, Prof James Gilkerson.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top