Melaka: Kelicikan seorang lelaki warga Bangladesh berselindung di sebalik perniagaan sayur-sayuran dengan menjadi tokan minyak masak peket menemui nokhtah apabila dicekup penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.
Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan sebuah kedai di Batu Berendam di sini, pagi semalam hasil risikan sejak sebulan lalu kerana disyaki menjadi dalang utama kegiatan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi di negeri itu.
Menurutnya, operasi bersepadu ‘Op Kita Gempur’ itu turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka bermula 9 pagi hingga 2 petang di empat lokasi membabitkan dua kedai dan dua rumah di Batu Berendam, Krubong, Malim dan Pengkalan Rama Pantai.
“Penahanan lelaki itu membawa kepada serbuan di lokasi kedua di sebuah tapak projek perumahan di Krubong yang menjadi antara lokasi lelaki itu membekalkan minyak masak peket terbabit kepada buruh warga asing.
“Hasil pemeriksaan menemukan 84 minyak masak peket disorok di sebuah kedai makan yang beroperasi di kawasan itu.
“Modus operandi suspek adalah dengan menghantar minyak masak peket bersama barangan lain seperti sayur-sayuran bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas operasi.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut terhadap lelaki berkenaan mendakwa permit asalnya sebagai pekerja pembinaan, namun bertukar sebagai tukang cuci apabila tamat tempoh sebelum berjinak-jinak dalam perniagaan sebagai ejen pembekal minyak masak tanpa lesen.
“Lelaki itu mendakwa memperoleh bekalan minyak masak peket daripada pemborong di merata tempat dan kita sedang kenal pasti siapa mereka.
“Siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya.
Dalam operasi selama lima jam itu, sebanyak 560 kilogram (kg) minyak masak peket dan 50 kg tepung dianggarkan bernilai RM1,553 dirampas dibawa ke pejabat KPDN untuk tindakan lanjut.
Selain itu, enam lelaki warga asing termasuk dalang terbabit yang berusia antara 30-an dan 40-an turut ditahan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959 serta Peraturan-peraturan Imigresen 1963, sementara dua daripada mereka disiasat mengikut AKB 1961.
Norena berkata, berdasarkan maklumat JIM pihaknya menyerbu lokasi ketiga di sebuah rumah di taman perumahan dekat Malim dan menjumpai 102 peket minyak masak disimpan tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Kita menahan seorang lelaki warga asing bagi merakam percakapannya yang mana dia mendakwa hanya mengambil upah menggoreng ‘baby crab’ di premis berkenaan dan minyak masak berkenaan kepunyaan orang lain.
“Hasil siasatan terhadap lelaki itu, kita menyerbu lokasi keempat iaitu di sebuah rumah di Pengkalan Rama Pantai dan hasil pemeriksaan kita merampas 374 peket minyak masak dan tiga kotak tepung gandum,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd