Lelaki Belgium ditipu cinta palsu, tempuh 700km untuk ‘berkahwin’ dengan ratu cantik Perancis

Lelaki Belgium ditipu cinta palsu, tempuh 700km untuk ‘berkahwin’ dengan ratu cantik Perancis
Sophie merupakan bekas Miss Limousin dan finalis Miss France yang terkenal kerana memperjuangkan hak golongan kurang upaya, beliau sendiri mengalami masalah pendengaran. Foto X/La Montagne

Sophie merupakan bekas Miss Limousin dan finalis Miss France yang terkenal kerana memperjuangkan hak golongan kurang upaya, beliau sendiri mengalami masalah pendengaran. Foto X/La Montagne

SAINT-JULIEN – Seorang lelaki warga Belgium berusia 76 tahun menjadi mangsa penipuan cinta dalam talian apabila beliau menempuh perjalanan sejauh 760km untuk bertemu wanita yang disangka bakal isterinya, seorang bekas ratu cantik Perancis, hanya untuk mendapati bahawa beliau telah ditipu secara kejam oleh sindiket penipuan siber.

Lelaki tersebut, dikenali sebagai Michel, tiba di kediaman Sophie Vouzelaud, bekas finalis Miss France 2007, di Saint-Julien, selatan Perancis.

Namun, beliau disambut oleh suami sebenar Sophie, Fabien.

Michel, seorang duda selama empat tahun, telah berkomunikasi selama beberapa minggu melalui WhatsApp dengan individu yang menyamar sebagai Sophie.

Beliau mendakwa telah membayar €30,000 (RM148,000) kepada penipu yang menjanjikan perkahwinan dan kehidupan bahagia.

Video pertemuan mengejut itu dimuat naik oleh Fabien dan menjadi tular, mencetuskan perbincangan hangat mengenai penipuan cinta dalam talian.

Sophie, 38, merupakan bekas Miss Limousin dan finalis Miss France yang terkenal kerana memperjuangkan hak golongan kurang upaya, beliau sendiri mengalami masalah pendengaran.

Beliau dan suaminya cuba menjelaskan kepada Michel bahawa beliau telah ditipu dan menggesa agar laporan polis dibuat.

Tidak jelas sama ada Michel telah berbuat demikian.

Penipuan cinta melibatkan penjenayah yang menyamar sebagai pasangan romantik untuk memanipulasi emosi dan menipu wang mangsa.

Kes Michel menyerlahkan bagaimana golongan warga emas sering menjadi sasaran kerana kesunyian dan kepercayaan yang mudah diberikan. – Awani

Scroll to Top