Lelaki berparang provokasi penguat kuasa DBKL di Desa Pandan ditahan

Lelaki berparang provokasi penguat kuasa DBKL di Desa Pandan ditahan

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai membuat provokasi sambil memegang parang dan memaki hamun anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika operasi meroboh struktur haram di Desa Pandan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi.

“Pasukan penguat kuasa DBKL bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) membuat kawalan keselamatan ketika kerja perobohan berkenaan.

“Seorang lelaki datang dan membuat provokasi sambil memegang sebilah parang panjang serta melibas sambil memaki hamun ke arah anggota penguat kuasa DBKL.

“Lelaki itu kemudian ditenangkan oleh beberapa orang awam yang berada di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Lazim berkata, polis menahan lelaki itu dan merampas sebilah parang panjang milik suspek di kawasan kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Kes masih dalam siasatan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran awam dan menghentikan penularan kejadian di media sosial,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92810715 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 50 saat memaparkan seorang lelaki memegang parang mengamuk dan memaki hamun anggota penguat kuasa DBKL sambil ditenangkan orang ramai yang berada di lokasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top