Lelaki berusia 102 tahun diiktiraf pendaki tertua Gunung Fuji

Lelaki berusia 102 tahun diiktiraf pendaki tertua Gunung Fuji

Tokyo: Seorang lelaki Jepun berusia 102 tahun, Kokichi Akuzawa mencatat sejarah apabila menawan puncak Gunung Fuji dan diiktiraf Guinness World Records (GWR) sebagai pendaki tertua.

Menurut Japan Today, Akuzawa mengakui hampir berputus asa ketika pendakian, namun semangatnya kembali selepas mendapat dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan.

“Sampai ke puncak memang sukar, tetapi rakan-rakan saya memberi galakan dan semuanya berakhir dengan baik. Saya berjaya melaluinya kerana begitu ramai orang yang menyokong saya,” katanya dalam satu temu bual bersama Associated Press.

Media sama turut melaporkan, Akuzawa mendaki bersama anak perempuannya berusia 70 tahun, cucu, menantu dan empat rakan daripada kelab pendakian tempatan.

Rombongan itu mengambil masa dua malam berkhemah sebelum melakukan pendakian ke puncak setinggi 3,776 meter pada 5 Ogos lalu.

Sebelum ini, Akuzawa juga pernah memecah rekod pada usia 96 tahun sekali gus memegang gelaran individu tertua pertama menawan Gunung Fuji.

Tidak lama selepas itu, dia dilaporkan berdepan masalah jantung, kayap dan pernah cedera ketika mendaki, namun tetap tidak berputus asa.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan persiapan mendaki, Akuzawa berkata, dia menjalani latihan selama tiga bulan dengan berjalan kaki setiap pagi dan menawan satu gunung seminggu di sekitar Nagano.

Jelas Akuzawa, pengalamannya mendaki sudah bermula sejak usia muda dan apa yang membuatkan dia terus bersemangat adalah persahabatan yang terjalin di gunung.

“Gunung Fuji kali ini lebih sukar berbanding enam tahun lalu, saya rasa terlalu lemah dan hanya mampu sampai dengan bantuan orang lain, lebih susah daripada mana-mana gunung sebelumnya” ujarnya.

Ditanya mengenai sama ada akan kembali mendaki, Akuzawa mengakui ini mungkin kali terakhir kerana usianya yang semakin lanjut.

Kini, dia lebih banyak meluangkan masa menjadi sukarelawan di pusat jagaan warga emas selain mengajar melukis di rumahnya.

Anak-anaknya juga berharap Akuzawa dapat melukis pemandangan Gunung Fuji ketika matahari terbit sebagai kenangan terakhir pendakian bersejarah itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top