am@hmetro.com.my
Georgetown: Lelaki British yang dilapor sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di kawasan bukit Batu Feringghi, di sini, ditemukan selamat oleh pasukan bomba.
Warga emas yang berusia 63 tahun itu berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4 petang semalam.
Katanya, khidmat khas penyelamatan membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dengan bantuan BBP Teluk Bahang.
“Panggilan kecemasan diterima menerusi sistem NG999 mengenai kejadian membabitkan lelaki yang tersesat dalam hutan ketika melakukan aktiviti pendakian.
“Mangsa berjaya dihubungi dan menghantar lokasi keberadaannya menerusi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut John berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menjalankan kerja mencari dan menyelamat (SAR) dibantu oleh polis, Agensi Pertahanan Awam (APM) dan orang awam di lokasi.
“Operasi pencarian dan penyelamatan menemukan mangsa dalam keadaan selamat sebelum lelaki itu dibawa turun ke kaki bukit,” katanya lagi.
Operasi ditamatkan pada 2.46 pagi tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd



