Lelaki bunuh wanita sewa kereta dipenjara 33 tahun

Lelaki bunuh wanita sewa kereta dipenjara 33 tahun

am@hmetro.com.my

Melaka: Bekas pengusaha kereta sewa dijatuhi hukuman penjara 33 tahun oleh Mahkamah Tinggi, hari ini selepas didapati bersalah membunuh wanita penyewa kereta, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu ke atas Shamshuri Mohamad, 55, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, selain memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap, 4 Jun 2018.

Beliau membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan dengan teliti hujahan daripada peguam tertuduh, faktor pemberatan yang dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya dan pernyataan impak mangsa daripada suami si mati yang kehilangan isteri dan dua anak yang membesar tanpa kasih sayang ibu.

Dalam penghakiman, Anselm turut menimbangkan bahawa usia tertuduh melebihi 50 tahun dan dikecualikan daripada sebatan rotan.

Shamshuri didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Yuliana yang ketika kejadian berusia 40 tahun di rumah di Taman Bertam Perdana, di sini, pada 4 Jun 2018 antara jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Terdahulu, Peguam Sangeet Kaur Deo yang tertuduh memohon hukuman penjara minimum tanpa sebatan atas alasan anak guamnya berusia lebih 50 tahun dan menghidap penyakit radang usus kronik, darah tinggi serta diabetes.

Beliau turut memohon mahkamah menimbangkan bahawa itu kesalahan pertama tertuduh yang sudah berkahwin dan berada dalam tahanan sejak 4 Jun 2018, selain fakta anak guamnya hadir menyerah diri apabila dihubungi polis pada hari kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Saleh memohon hukuman mati dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu membabitkan keganasan, malah kematian mangsa yang memberi kesan terhadap keluarganya.

Katanya, perbicaraan kes itu juga mengambil masa mahkamah sejak 1 September 2020 dengan 21 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top