Lelaki cabar diri kembara jalan kaki 3,300 km

Lelaki cabar diri kembara jalan kaki 3,300 km

Beijing: Seorang lelaki berusia 31 tahun di China sanggup menghabiskan masa hampir setahun untuk melakukan pengembaraan termasuk mendaki sejauh 3,300 kilometer (km) dari kampung halamannya di tengah wilayah Hubei ke Lhasa di Tibet.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, pengembaraan itu mengubah penampilan lelaki dikenali Liqi hingga kelihatan seperti berusia 50-an.

Liqi menyedari perubahan pada penampilannya selepas sekian lama terdedah dengan dunia luar.

“Saya kelihatan 20 tahun lebih tua daripada ketika memulakan perjalanan saya,” kata Liqi.

Liqi memulakan perjalanan solonya dari Jingzhou di Hubei, tengah China, pada 6 April tahun lalu dan tiba di Lhasa pada 11 Mac, lapor Jiupai News.

Sepanjang perjalanan termasuk mendaki beberapa gunung altitud tinggi, Liqi berjalan sambil menolak pedati beroda dua dan meletakkan semua yang diperlukan untuk kehidupan seharian.

Dia berdepan cuaca ekstrem, seperti taufan, ribut dan salji tebal, dan dua kali bertembung dengan serigala liar.

Detik mencabar lain dilaluinya adalah apabila keretanya jatuh ke dalam parit dan tayarnya rosak.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, lutut kanan Liqi cedera parah hingga memaksanya berjalan terhincut-hincut ketika menamatkan saki baki perjalanannya.

Dalam video yang dimuat naik pada 8 Mac, Liqi memaklumkan ribut salji menyebabkan dia terperangkap di atas gunung sepanjang hari hingga tidak dapat makan.

Tidak jelas apa dorongan Liqi yang bekerja dalam perniagaan pakaian sebelum ini untuk menempuh perjalanan sukar itu.

Difahamkan, Liqi kerap tidur dalam suasana tidak selesa dan ada kalanya tinggal di stesen minyak atau pejabat pegawai perlindungan hutan.

Lelaki itu juga jarang mandi atau menukar pakaian sejak enam bulan lalu dan mengekalkan perbelanjaannya dalam lingkungan 1,000 yuan (kira-kira RM610) sebulan dengan memasak makanan ringkas.

Selepas tiba di Lhasa, Liqi akan mandi, memotong rambutnya dan membuat siaran langsung untuk berkongsi pengalamannya.

“Saya hanya hidup dengan cara saya sendiri.

“Ia bukan menyeksa diri saya tetapi satu lagi bentuk cabaran,” kata Liqi ketika menjawab keraguan segelintir warganet.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top