Lelaki cabul murid dalam perpustakaan diperintah bela diri

Lelaki cabul murid dalam perpustakaan diperintah bela diri

am@hmetro.com.my

Muar: Seorang guru diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap murid lelaki dalam bilik perpustakaan sebuah sekolah di Tangkak, enam tahun lalu.

Hakim Sayani Mohd Nor membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap dua pertuduhan dikenakan tertuduh, Mohd Fauzi Musa, 37.

Ketika membaca keputusan di akhir pendakwaan, Sayani berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira dan meneliti segala keterangan saksi pendakwaan serta eksibit dikemukakan di mahkamah.

“Selain itu, mahkamah meneliti keterangan bertulis daripada pihak pendakwaan dan pembelaan sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung dan oleh itu, kamu diperintah membela diri.

“Mahkamah memberi tiga pilihan di peringkat pembelaan sama ada membuat akuan bersumpah dari kandang saksi, akuan tidak bersumpah atau memilih untuk berdiam diri,” hujahnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa lelaki berusia sembilan tahun (ketika kejadian) yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai guru.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di dalam perpustakaan sekitar jam 3 dan 4 petang pada November 2019 dan 2 Januari 2020.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Manakala Seksyen 16 (1) iaitu tambahan hukuman, penjara maksimum lima tahun dan dua kali sebatan.

Berdasarkan laporan, tertuduh menyuruh mangsa masuk ke dalam sebuah bilik di perpustakaan lalu mengunci pintunya dan melakukan perbuatan sebanyak dua kali pada hari berlainan.

Kejadian itu terbongkar selepas rakannya memberitahu ibu mangsa ketika menghadiri mesyuarat di sekolah terbabit lalu membuat laporan polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hanif Hassan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 dan 11 November ini untuk tertuduh membela diri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top