Lelaki cedera ditembak: Motif kejadian sedang disiasat – Polis

Lelaki cedera ditembak: Motif kejadian sedang disiasat – Polis

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Polis sedang meneliti semua sudut bagi melengkapkan siasatan kes cubaan bunuh terhadap seorang lelaki yang cedera ditembak di hadapan sebuah premis kawasan Perniagaan Seri Tambun dekat Simpang Ampat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa warga tempatan berusia 37 tahun dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata mangsa mengalami kecederaan pada lengan kanan.

“Siasatan di tempat kejadian sudah dijalankan dan beberapa bahan bukti ditemui bagi membantu siasatan.

“Polis sedang meneliti semua sudut dalam siasatan kejadian ini yang kita masih sedang siasat motif sebenar kejadian berlaku.

“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jay January berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Rizal Abd Rashid di talian 019-8282212 atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Terdahulu media melaporkan yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau cedera ditembak selepas mangsa dilaporkan selesai bersenam di sebuah gimnasium dan singgah di sebuah kedai serbaneka dalam bangunan yang sama untuk membeli telur.

Ketika hendak memasuki kereta, mangsa dikatakan didatangi seorang lelaki bertopeng dan memakai jaket hitam sebelum dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top