ALOR SETAR: Seorang lelaki berjaya dipujuk anggota bomba dan polis ketika cuba bunuh diri dengan menggantung diri di atas bumbung sebuah rumah teres setingkat di Kampung Hulu di sini hari ini.
Dalam kejadian 7.47 malam itu, lelaki berusia lingkungan 30-an berjaya diturunkan setelah ketibaan polis ke tempat kejadian.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Arizal Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian dan ke lokasi.
“Setibanya ke lokasi, mangsa dilihat masih berada di atas bumbung rumah teres setingkat dan mangsa dipercayai telah mengikat tali di wayar elektrik di sebatang tiang elektrik berdekatan rumah berkenaan.
“Mangsa awalnya menolak untuk turun ke bawah ketika dipujuk komander operasi namun turun setelah ketibaan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 8.48 malam. – UTUSAN