Lelaki dakwa kematian Zara Qairina 'pembunuhan terancang' ditahan polis

Lelaki dakwa kematian Zara Qairina 'pembunuhan terancang' ditahan polis

mhafis@mediprima.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun dan merampas telefon bimbit selepas menyebarkan maklumat tidak tepat mendakwa kematian Zara Qairina Mahathir adalah pembunuhan terancang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, suspek ditahan jam 10.20 malam semalam bagi membantu siasatan penularan video yang mengandungi audio perbualan penemuan hasil bedah siasat Zara Qairina.

Menurutnya, video berkenaan dikesan ditularkan oleh akaun tiktok @berjuanguntukzara.

“Semakan awal polis mendapati hantaran video berdurasi dua minit enam saat itu mengandungi kenyataan yang tidak benar berhubung siasatan kes Zara Qairina kerana menyifatkan kematian pelajar berkenaan sebagai pembunuhan terancang.

“Susulan penahan itu, kita (polis) turut merampas satu unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kes ini,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Kumar berkata, permohonan reman dibuat dan dibenarkan tiga hari bermula hari ini hingga 21 Ogos ini.

“Siasatan berhubung penularan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahahian D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman sejurus laporan polis diterima/

“Siasatan dilakukan mengikut peruntukan kesalahan-kesalahan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam pada itu, Kumar memaklumkan keputusan untuk mengadakan inkues terhadap kes kematian Zara Qairina dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 13 Ogos lalu.

“PDRM memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam atau mengganggu prosiding mahkamah.

“Masyarakat juga diingatkan supaya tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang diakses di media sosial tanpa menentusahkan kesahihannya terlebih dahulu terutama berkaitan isu keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional serta mengelakkan daripada membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top