Lelaki dicekup berkhalwat janda warga asing, beri alasan rumah penuh

Lelaki dicekup berkhalwat janda warga asing, beri alasan rumah penuh

am@hmetro.com.my

Muar: Helah seorang lelaki memberi alasan kononnya terpaksa bermalam di hotel kerana rumah dipenuhi ahli keluarga tidak menjadi apabila dicekup ketika bermadu asmara dengan janda warga asing di sebuah hotel di sini, malam semalam.

Lelaki berusia 20-an iaitu 10 tahun lebih muda daripada janda terbabit, dicekup dalam operasi dilakukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada jam 12.30 tengah malam.

Menurut JAINJ, penguat kuasa mengetuk pintu bilik hotel dan kira-kira lima minit kemudian, seorang lelaki berpakaian lengkap membukanya.

“Sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, lelaki terbabit mula menggelabah.

“Pemeriksaan di dalam bilik menemukan seorang wanita yang sedang bersila di atas permaidani dengan memakai seluar panjang dan baju-T.

“Pada masa sama, penguat kuasa mendapati keadaan katil berselerak. Turut ditemukan tuala basah di atas permaidani dan juga bilik air,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, penguat kuasa turut menemukan seluar jeans, baju lengan panjang dan pakaian dalam milik wanita dalam almari.

Jelasnya, hasil soal siasat mendapati, pasangan itu bukan suami isteri dengan lelaki masih bujang dan bekerja di Kuala Lumpur.

“Lelaki itu berasal dari daerah ini manakala wanita, berusia 30-an, berasal dari negara jiran dan bekerja di sebuah kedai makan di sini.

“Pada hari kejadian, pasangan ini memasuki hotel pada 11 malam selepas lelaki menjemput wanita ini menaiki motosikal di tempat kerjanya.

“Penguat kuasa menyoal pasangan terbabit namun lelaki itu memberi alasan, dia terpaksa bermalam di hotel kerana rumahnya penuh (dengan ahli keluarga).

“Malah, lelaki itu juga memberitahu, dia tidak berhasrat untuk menikahinya kerana keadaan kewangan masih belum kukuh,” katanya.

Menurut JAINJ lagi, penguat kuasa sudah merekodkan keterangan pasangan itu dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top