Lelaki dicekup selepas tujuh jam samun pekerja hotel

Lelaki dicekup selepas tujuh jam samun pekerja hotel

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Polis berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjatakan parang di sebuah hotel di daerah ini hari ini dalam tempoh kurang tujuh jam susulan tertangkapnya seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek berusia 24 tahun dan tidak bekerja itu ditahan di daerah Marang kira-kira jam 11 pagi.

Beliau berkata, penahanan suspek susulan laporan polis diterima pihaknya mengenai kejadian samun yang berlaku di sebuah hotel di daerah ini kira-kira jam 4.20 pagi.

Katanya, hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek yang bersenjatakan parang menyamun pekerja hotel berkenaan dan melarikan wang tunai berjumlah RM 6,600.

“Bertindak daripada hasil risikan yang dijalankan, suspek ditahan di Marang dan kita turut merampas sebuah motosikal, satu topi keledar dan sebilah parang yang digunakan semasa kejadian serta wang tunai berjumlah RM5,180 dan resit deposit wang hasil daripada kejadian samun berkenaan.

“Dengan tertangkapnya lelaki terbabit, polis berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam selain turut menyelesaikan satu lagi kes kecurian wang di hotel yang sama yang berlaku sebulan sebelum kejadian samun ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/ 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top