surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki menghidap kanser leukemia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang bayi perempuan berusia 10 bulan, tahun lalu.
Bagaimanapun, lelaki yang juga anak pengasuh berusia 20 tahun itu tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Jalan Hamzah Kampung Baru, Dang Wang di sini pada 10 pagi, 31 Julai 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shakira Aliana Alias menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
“Kami juga memohon syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa, keluarga dan saksi kejadian selain melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport ke mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Azi Azlin Zulkifli yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh masih belajar dan menghidap penyakit kanser leukemia.
“Berdasarkan rekod kesihatan tertuduh, adalah wajar untuk mahkamah memberikan jaminan paling minimum kerana anak guam masih belum didapati bersalah,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Kafli membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 24 September ini untuk sebutan kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd



