Lelaki 'dikehendaki' ditahan selepas 30 minit dikejar, beberapa das tembakan turut dilepaskan

harisfadli@hmetro.com.my

​Kuala Lumpur: Suspek curi kabel yang memiliki 37 rekod lampau ditahan selepas dikejar selama 30 minit dari Plaza Tol Awan Besar, di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) hingga ke Sri Petaling, di sini, hari ini.

Suspek ditangkap selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas dan melanggar kereta lain sekitar Sungai Besi, di sini, hari ini.

​Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Peronda Lebuhraya Bukit Aman mengesan sebuah Ford Ranger dalam keadaan mencurigakan dinaiki dua individu di Lebuhraya KESAS.

​Menurutnya, pihak polis mengarahkan suspek untuk berhenti bagi pemeriksaan, namun suspek terus memecut laju cuba melarikan diri.

​”Suspek dikejar dari Plaza Tol Awan Besar arah Klang (Barat) sehingga ke Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Ketika kejadian, satu das tembakan dilepaskan ke bahagian tayar kenderaan suspek.

​”Kenderaan suspek dikejar kira-kira 30 minit sebelum berhenti seketika di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Besi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, suspek tetap enggan memberikan kerjasama, sebelum kembali memecut dan cuba melanggar anggota bertugas.

Katanya, keadaan itu memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan lagi ke arah tayar belakang kenderaan suspek.

​Katanya, kenderaan suspek hanya berhenti di di Jalan Hang Tuah 4, selepas Ford Ranger itu hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta Mazda.

​”Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan manakala seorang lagi suspek lelaki yang juga pemandu berjaya melarikan diri.

​”Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemukan pelbagai barang dan alatan bagi tujuan mencuri kabel dan sejumlah kabel disyaki dicuri,” katanya.

​Fadil berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri, manakala permohonan reman suspek yang ditahan akan dibuat esok.

Beliau berkata, ia bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan/ Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987/ Seksyen 427 Kanun Keseksaan/ Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

​Katanya, semakan mendapati suspek yang ditangkap mempunyai 37 rekod jenayah lampau dan berada dalam senarai sebagai ‘orang dikehendaki’.

​Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menerusi talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran anda.

​Terdahulu beberapa gambar dan video tular di media sosial memaparkan sebuah Ford Ranger berwarna hijau terbabas dan dikepung oleh pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top