am@hmetro.com.my
Melaka: Lelaki disenarai ‘orang dikehendaki’ bagi kes ugutan jenayah dicekup bersama isterinya di Jalan Malim Jaya malam semalam selepas nekad memecut kereta termasuk merempuh kereta peronda polis (MPV) untuk melarikan diri.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, suspek memandu Proton Wira dikesan sepasukan polis berhubung laporan kes Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika cuba mengejar, suspek terus memecut kereta dan enggan memberikan kerjasama di kawasan sebuah pasar raya di Batu Berendam.
Menurutnya, polis terpaksa meminta bantuan kereta peronda dan berjaya menangkap pemandu terbabit di Jalan Malim Jaya dari arah Cheng Ria menghala ke bulatan Malim selepas kereta suspek melanggar sebuah daripada lima MPV polis.
“Ketika tangkapan, isterinya turut berada di dalam kereta dan lelaki itu cedera lebam di muka dipercayai akibat kemalangan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.
“Keretanya kemek di bahagian hadapan akibat terlanggar kereta peronda Honda Civic yang turut rosak pada bampar dan pecah lampu hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan suspek lelaki berusia 28 tahun memiliki 18 rekod lampau iaitu 11 jenayah dan tujuh narkotik manakala isterinya berusia 27 tahun, terbabit tiga kes jenayah dan satu kes dadah sebelum ini.
Katanya, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh pagi tadi dan polis mendapat perintah reman terhadap mereka selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Terdahulu tular video berdurasi 15 saat di media sosial memaparkan kejadian MPV mengejar kenderaan suspek sebelum berjaya ditahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd