am@hmetro.com.my
Dungun: Seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti selam skuba di kawasan perairan Pulau Tenggol, dekat sini, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata mangsa, Tam Peng Hoong, 66, warga tempatan dikatakan menyelam di kawasan pulau terbabit bersama anaknya kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, anak mangsa dikatakan naik ke permukaan air selepas lima minit melakukan selaman di situ.
Bagaimanapun, katanya, mangsa dikatakan tidak timbul selepas sejam melakukan selaman di kawasan terbabit.
“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan, Pahang menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2 petang tadi,
“Berikutan itu, gerakan mencari dan menyelamat segera diaktifkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi pencarian,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Beliau berkata, sehingga jam 7 malam tadi, usaha mencari dan menyelamat mangsa masih belum berhasil dan operasi pencarian akan disambung semula kira-kira jam 7 pagi esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




