Lelaki dikhuatiri lemas terjatuh sungai

Lelaki dikhuatiri lemas terjatuh sungai

am@hmetro.com.my

Machang: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Maka, Pulai Chondong, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Machang Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada abang mangsa berhubung kehilangan adiknya itu pada 12.43 tengah hari semalam.

Katanya, sebelum laporan polis dibuat, abang mangsa menerima panggilan telefon daripada kakaknya yang memaklumkan adiknya, Muhammad Khairul Naeim Che Deraman, 29, tidak pulang ke rumah sejak semalaman.

“Kali terakhir mangsa dilihat berada di tebing Sungai Kampung Maka Joh, Labok sebelum dia dilaporkan hilang.

“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam sungai berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini memasuki hari kedua dengan tumpuan skop pencarian agensi penyelamat di sekitar Sungai Kelantan, Kampung Maka Joh sehingga ke Kampung Mata Ayer.

“Sehingga kini, masih belum terdapat sebarang tanda atau petunjuk penemuan mangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top