Lelaki dilaporkan hilang ditemukan meninggal dunia di puncak air terjun

Lelaki dilaporkan hilang ditemukan meninggal dunia di puncak air terjun

am@hmetro.com.my

Baling: Lelaki ditemukan meninggal dunia di kawasan hutan di air terjun di Kampung Teluk Sanau di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis untuk membantu mencari dan menyelamat mangsa di kawasan hutan di air terjun berkenaan, pada 2.34 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Baling tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk membantu mengangkat mayat berkenaan yang berada di satu lokasi pada ketinggian lebih sembilan meter.

“Bomba terpaksa mendaki dan menyusuri denai sejauh tiga kilometer (km) untuk sampai ke puncak (air terjun) dan mangsa didapati mangsa tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut menyertai operasi itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, kerja-kerja mengeluarkan mangsa amat berisiko disebabkan lokasi yang curam dan permukaan batu yang licin dan struktur muka bumi yang tidak sekata (aliran air terjun ) dan cuaca hujan renyai serta gelap.

“Bomba mengambil masa hampir dua jam malah turut dibantu polis dan KKM serta orang awam untuk membawa mangsa ke bawah.

“Mangsa yang berusia 40-an itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 6.23 pagi tadi. Tiada rekod pengenalan diri mangsa ditemukan di lokasi,” katanya.

Difahamkan, mangsa masuk ke hutan itu untuk mencari petai dan sayuran kampung, namun dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi adiknya sejak petang semalam.

Orang awam kemudian menemukan mangsa di puncak air terjun berkenaan pada awal pagi ini dan memohon bantuan polis dan bomba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top