Lelaki dipenjara kerana racun gelandangan – Utusan Digital

 CALIFORNIA: Seorang lelaki dihukum penjara empat tahun selepas didapati bersalah meracun lapan gelandangan dan merakam reaksi mereka selepas diracun, di sini kelmarin.

Menurut pejabat peguam daerah Orange County, William Cable, 38, dari San Andreas di utara California dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah meracun, mencederakan warga emas dan beberapa individu lain.

Pendakwa raya memaklumkan pada Mei tahun lalu, Cable meracun sekumpulan gelandangan di Huntington Beach menerusi makanan yang dicampur dengan ‘oleoresin capsicum’ yang disifatkan dua kali ganda lebih pedih dan kuat dari semburan lada yang digunakan oleh polis.

Beberapa mangsa diberitahu mereka terlibat dalam ‘cabaran makan pedas’ dan ada dalam kalangan mereka tidak tahu mengenai perkara itu.

Selepas makan makanan yang diberi Cable, kesemua mangsa mempunyai gejala seperti serangan sawan iaitu sukar bernafas, muntah dan sakit mulut serta perut yang kuat.

“Mangsa dieksploitasi dan diracun untuk dijadikan bahan hiburan, selain kesakitan mereka direkod untuk kepuasan tertuduh,” kata Peguam Daerah Orange County, Todd Spitzer pada Jun lalu ketika Cable didakwa. – AP